Perhimpunan Bulanan dan Gotong Royong Sempena Perasmian Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Melaka
Perhimpunan Bulanan dan Gotong Royong Sempena Perasmian Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Melaka
JUMAAT, 22 JANUARI 2016 – Bersempena dengan Majlis Perasmian Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Melaka yang akan disempurnakan oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, satu Gotong Royong Perdana telah diadakan di Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Melaka. Acara dimulakan dengan senamrobik yang dipimpin oleh saudara Fadil bin Duamit @ Ahmit dan disusuli dengan perhimpunan Bulanan MSNM.
Perhimpunan bulanan yang diadakan pada kali ini turut meraikan pelajar-pelajar praktikal dari Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) yang akan menamatkan latihan praktikalnya di MSNM. Perhimpunan dimulakan dengan ucapan oleh Ketua Pendaftar MSNM sebelum ucapan amanat oleh YAA Datuk Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Negeri Melaka.

YAA Datuk Haji Mohd Radzi bin Haji Abd Latif di dalam ucapannya menekankan bahawa semua warga MSNM seharusnya menggembeling tenaga dan usaha bersungguh-sungguh untuk menjayakan Majlis Perasmian kelak. YAA Datuk turut memaklumkan bahawa pihak Kerajaan Negeri telah memperolehi surat dari Istana Negara yang memaklumkan bahawa Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong telah mengampuni perkenan untuk mengadakan Lawatan Tugas Khas ke Negeri Melaka pada 24 hingga 25 Februari 2016. Baginda berdua akan berangkat merasmikan Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Melaka pada 25 Februari 2016 yang menjadi mercu tanda kebanggaan Negeri Melaka seterusnya memartabatkan Institusi Kehakiman Syariah yang mana Seri Paduka Baginda sebagai Ketua Agama Islam. Perhimpunan tersebut diserikan lagi dengan majlis penyampaian cenderamata dan sijil penghargaan kepada pelajar KUIM yang telah banyak membantu melaksanakan tugasan sepanjang berada di Mahkamah Syariah.

Selepas perhimpunan bulanan, aturcara diteruskan dengan acara Gotong Royong Perdana yang melibatkan semua warga MSNM termasuk dari daerah Alor Gajah dan Jasin serta dibantu oleh pelajar-pelajar KUIM. Sesi taklimat gotong royong telah disampaikan oleh Encik Sazali bin Ibrahim dan diikuti dengan pembahagian tugasan dan kawasan. Antara aktiviti gotong royong adalah mengecat pagar yang berada di sekeliling kawasan MSNM dan pembersihan kawasan.



Jelas dari riak dan kerjasama yang ditunjukkan oleh semua warga MSNM, mereka begitu bersemangat dan teruja untuk menyambut ketibaan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong ke Kompleks MSNM pada 25 Februari 2016 nanti.

Kompleks MSNM yang hasil usahasama antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan bernilai lebih RM 34 juta ini telah memberi kemudahan kepada orang awam di dalam penyelesaian kes-kes Syariah di Negeri Melaka.

Gotong Royong Perdana telah selesai pada pukul 12 tengahari dan Kompleks MSNM semakin cantik dan ceria selepas dicat dan dibersihkan hasil kerjasama yang sangat baik oleh semua warga MSNM.
Berita dan Gambar Disediakan Oleh: Tuan Abu Suffian bin Abu Yaziz






















.png)





.png)








