SEMINAR DAN PEPERIKSAAN BERTULIS PEGUAM SYARIE NEGERI MELAKA 2023
SEMINAR DAN PEPERIKSAAN BERTULIS PEGUAM SYARIE NEGERI MELAKA 2023
16 Mac 2023 | 23 Syaaban 1444H (Khamis) - Mahkamah Syariah Negeri Melaka (MSNM) telah menganjurkan Seminar dan Peperiksaan Bertulis Peguam Syarie Negeri Melaka bertempat di Dewan Banquet, Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Melaka. Seramai 63 bakal peguam syarie telah mendaftarkan diri untuk diterima masuk sebagai peguam syarie negeri Melaka. Seminar dimulai dengan ucapan aluan YAA Datuk Mohd Nadzri Bin Hj Abdul Rahman, Ketua Hakim Syarie, MSNM. YAA Ketua Hakim Syarie mengalu-alukan kehadiran peguam syarie yang memohon untuk diterima masuk sebagai Peguam Syarie negeri Melaka. Beliau juga telah menyatakan sejajar dengan pewartaan Peraturan-Peraturan Pentadbiran Agama Islam (Peguam Syarie) Negeri Melaka 2022, hanya peguam syarie yang berkelayakan dan berpengetahuan yang mencukupi dalam bidang perundangan syariah serta telah menjalani latihan dalam kamar (chambering) dapat diterima masuk dan beramal sebagai peguam syarie di negeri Melaka. Beliau juga menyeru kepada peguam syarie untuk sentiasa menjaga etika tata kelakuan sebagai peguam syarie dan tidak terbabit dengan kelakuan yang tidak baik yang boleh dijatuhkan perintah hukuman termasuk membatalkan pendaftaran peguam syarie dan sijil amalan seorang peguam syarie dan mengingati semua agar sentiasa mempamerkan sikap dan kelakuan yang baik dalam aktiviti kehidupan seharian terutamanya dalam urusan yang berkaitan dengan pengendalian kes-kes di mahkamah.
Kerajaan Negeri Melaka telah menambahbaik prosedur penerimaan masuk peguam syarie bagi negeri Melaka dengan mewartakan Peraturan-Peraturan Pentadbiran Agama Islam (Peguam Syarie) Negeri Melaka 2022. Melalui pewartaan peraturan-peraturan peguam syarie ini, hanya peguam syarie yang berkelayakan dan berpengetahuan yang mencukupi dalam bidang perundangan syariah serta telah menjalani latihan dalam kamar (chambering) sahaja dapat diterima masuk dan beramal sebagai peguam syarie di negeri Melaka. Ianya bertujuan untuk melahirkan peguam syarie yang berkualiti yang dapat mewakili pihak-pihak dalam kes-kes di Mahkamah Syariah.
Ceramah telah dimulai oleh Tuan Mohammad Zulkhairi Bin Aziz, Ketua Pendaftar tentang Maklumat Korporat Mahkamah Syariah Negeri Melaka dan Etika Peguam Syarie. Seterusnya Tuan Amirrudin Bin Abdul Latip, Hakim Mahkamah Rendah Syariah Daerah Alor Gajah telah memberikan ceramah merangkumi prosedur kes Mal di Mahkamah Syariah dan tajuk berkenaan prosedur Jenayah pula telah diberikan oleh Tuan Mohd Saifuddin Bin Othman, Pegawai Penyelidik Kanan MSNM. Peperiksaan Bertulis pula telah diadakan pada jam 2.00 petang dan berakhir pada jam 5.00 petang. Sekalung penghargaan kepada semua pihak terlibat dalam menjayakan Seminar dan Peperiksaan Bertulis Peguam Syarie Negeri Melaka dan semoga semua beroleh kejayaan.
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |