Skip to main content

Perutusan Ketua Hakim Syarie Tahun 2010

basmallahgambar ketua hakim syarie melaka
 
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
 

Salam 1 Malaysia, Melaka Maju 2010,
Syukur Ke Hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnianya saya diberi kesempatan untuk memberi sepatah dua kata dalam laman web rasmi Mahkamah Syariah Negeri Melaka ("MSNM") ini.

Di dalam ruangan yang terhad ini, saya selaku Ketua Jabatan MSNM ingin menyahut seruan YAB Datuk Seri Mohd Ali Bin Rustam menuju ke arah Melaka Maju 2010 di mana sasaran Kerajaan Negeri Melaka adalah untuk mencapai status negeri maju menjelang 20hb Oktober 2010 pada jam 20.10 malam. Nampaknya berbagai pelan perancangan dan pelan tindakan telah dilakukan oleh agensi-agensi berkaitan bagi memastikan indikator untuk diiktiraf sebagai negeri maju dapat dipenuhi. Bukan mudah untuk merealisasikan namun saya percaya bahawa kerajaan Negeri Melaka mampu untuk melaksanakan segala perancangan yang telah disusun.

Sejajar dengan itu, jabatan kami sentiasa berusaha untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik terutamanya dalam mengendalikan kes-kes di Mahkamah Syariah untuk mengelakkan kes-kes tertangguh. Sepanjang tahun 2010 ini, sebagai salah satu langkah menuju ke arah tranformasi, jabatan ini telah terpilih ke peringkat akhir Pertandingan Anugerah Inovasi Ketua Pengarah (“AIKP”) anjuran Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (“JKSM”) di mana semua Mahkamah Syariah di Malaysia telah mengambil bahagian.

Di dalam ruangan yang terhad ini, saya ingin memaklumkan Mahkamah Syariah telah berjaya mendapat Pensijilan Amalan Persekitaran Berkualiti (QE) 5S setelah diaudit oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (lebih dikenali sebagai “MPC”) pada 17hb dan 18hb Jun 2010. Saya amat berbangga dengan semangat yang ditunjukkan oleh semua kakitangan MSNM yang tidak mengenal erti penat dan lelah dalam melaksanakan Amalan 5S di tempat kerja ini. Sebagai impaknya, saya dapat melihat persekitaran bekerja menjadi lebih berkualiti terutamanya dari segi kebersihan dan keselesaan dalam menjalankan tugas. Kami juga dapat melihat proses kerja menjadi lebih efektif di mana pelanggan Mahkamah diberi keutamaan dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik. Adalah menjadi harapan saya agar Amalan 5S ini dilaksanakan secara konsisten di kalangan semua warga MSNM kerana amalan ini juga dituntut dalam Islam.

Pada tahun ini juga MSNM telah diberi pengiktirafan sebagai Pemenang Tempat Pertama di peringkat negeri Melaka dan memperolehi penarafan 4 Bintang dalam Indeks Akauntibiliti yang dijalankan oleh Jabatan Audit Negara. Ini menunjukkan bahawa kakitangan MSNM telah memberikan komitmen yang jitu serta berintegriti dalam mengendalikan kerja seharian terutama dalam pengurusan kewangan dan asset. Saya mengharapkan nilai-nilai murni ini diteruskan dan menjadi pegangan setiap kakitangan MSNM.

Kami juga mempunyai matlamat untuk mensasarkan pengiktirafan MS ISO 9001:2008 dan Indeks Prestasi Utama (atau lebih dikenali sebagai Key Performance Indicators (KPI))pada tahun ini yang mana berkaitan dengan pengendalian kes-kes di Mahkamah Syariah.InsyaAllah.

Selain daripada itu, MSNM telah mengambil bahagian di dalam beberapa pertandingan yang berteraskan kebersihan, inovasi, dan lain-lain anugerah yang dianjurkan oleh kerajaan negeri sebagai sokongan kepada kerajaan negeri menuju ke arah Melaka Maju 2010.

Oleh yang demikian, MSNM bertekad untuk menambahbaik sistem kerja menerusi amalan persekitaran berkualiti (5S) , meneruskan usaha ke arah pensijilan MS ISO 9001:2008, memantapkan Sistem Star Rating (SSR) dan menjadikan Key Performance Indicators (KPI) sebagai teras untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan.

Akhir kalam, saya mengharapkan agar semua pihak berganding bahu dan bekerjasama untuk menjayakan segala pelaksanaan dan matlamat demi memenuhi kehendak dan kepuasan orang ramai terhadap pengurusan kes-kes di Mahkamah Syariah ini. Jabatan ini sentiasa mengalu-alukan sebarang cadangan atau pendapat daripada anda semua ke arah penambahbaikan yang berterusan.

Sekian, Wassalam.
Terima Kasih.

YAA DATUK MAHAMMAD BIN IBRAHIM
KETUA HAKIM SYARIE
MAHKAMAH SYARIAH NEGERI MELAKA
28 SEPTEMBER 2010